Blog ini Di Review Orang ?

Respons: 7 comments
Entah apalah perasaan yang ingin di gambarkan di sini setelah mendapat tahu yang blog yang tak seberapa ini di review oleh salah seorang sahabat blogger saya Expressi Dunia . Terima kasih sudi untuk review blog saya ni. Semuanya bermula dengan salah satu segmen yang di anjurkan oleh beliau, yang mana tajuknya Andai Aku Superhero. Inilah kali pertama saya menyertai segmen yang dianjurkan oleh para sahabat blogger.

Dari review yang di paparkan di dada blognya sekarang ini, rupanya ada banyak kelemahan pada blog saya yang harus saya perbaiki antaranya:-

1. Loading Time boleh tahan lagi
2.banyak sangat widget
3.susunan yang tak teratur
4. semua yang saya promote kebanyakan ada di Batu Kurau

Saya akan cuba untuk atasi masalah seperti loading time yang agak mengambil masa yang lama, mungkin saya perlu minta nasihat pada abgterror yang mana kini sedang mengatasi blognya yang berat. Harap beliau dapat membantu berdasarkan pengalaman beliau sekarang.

Terlalu banyak sangat widget juga menyebabkan blog ini agak berat untuk loading dan pastinya ada kawan-kawan yang bosan untuk menunggu loading habis, lantas ruginya tiada satupun iklan akan diklik. Jadi saya telah mengambil beberapa langkah drastik dengan membuang mana-mana widget yang saya rasakan tidak perlu ataupun tidak menjadi keperluan.

Saya akui susunan saya agak tidak teratur, terima kasih atas komen tersebut, saya akan cuba atasi dengan menyusun dengan teratur segala apa yang ada di dalam blog ini peringkat demi peringkat.

Segala apa yang saya promote di dalam blog ini kebanyakannya berkenaan dengan apa yang ada di Batu kurau ini, kadangkala sahaja saya akan bercerita berkenaan di luar Batu Kurau. kunjungilah selalu saya akan cuba perbaiki segala kelemahan yang ada di blog ini peringkat demi peringkat.

Terima Kasih Expressi Dunia dan semua pembaca.

Jom Makan Nasi Tomato Dekat Juru :-(

Respons: 2 comments
Puas sehari pusing-pusing ke Pulau Pinang mencari barang komputer asalnya, perut pun sudah lapar kerana sepanjang perjalanan memang tak singgah minum mahupun makan dekat mana-mana. Jadi perutpun sudah menjadi sangat-sangat lapar. Papago di Galaxy 5 berulang kali membunyikan suara mengatakan ada tempat perhentian di hadapan. Bila melihat pada papan tanda di tepi jalan baru perasan ada R&R Juru. Pucuk di cita ulam mendatang, perut pun sudah lapar, lalu saya membelok ke kiri menuju ke R&R untuk mengisi perut yang kosong sedari pagi lagi tidak menjamah sebarang makanan.
Pilih punya pilih, akhirnya saya singgah ke gerai C.C Za Catering, melihat kepada lauk-lauk yang tersedia di gerai ini sudah cukup untuk membuka selera. Saya telah memesan nasi tomato, oleh kerana antara menu utama adalah nasi tomato, ayam masak merah, dan sedikit jelatah, untuk pengetahuan pembaca, saya pernah menjual nasi tomato di Bazar Ramadan sewaktu bulan puasa tiga tahun berturut-turut. Jadi rasanya saya kenal benar rasa nasi tomato ni.


Nah inilah nasi tomato yang saya pesan tadi sudah tersedia di atas meja menunggu untuk saya menjamahnya. Biasanya jika kita makan nasi tomato yang di beli di pasar malam rasanya harga hanyalah sekitar kurang dari RM5.00, tapi harga yang saya bayar untuk sepinggan nasi tomato, lauk ayam masak merah dan jelatah ini RM8.00. Terkejut betul saya bila waktu nak bayar, bukan bermakna saya berkira atau kedekut nak keluarkan duit untuk makan. Tapi kalau sedap tak mengapalah, sayangnya nasi tomato ini sudah sejuk, keras, jauh sekali rasanya nasi tomato yang saya jual dahulu, ayam pula agak keras, sedikit kuah ayam masak kicap saya letakkan di bahagian tepi, rasa menyesal juga letak di situ, kuah ayam masak kicap tu agak masin lagilah membantutkan selera nak makan.
Oleh kerana tidak mahu membazirkan makanan yang telah saya beli, saya habiskan juga nasi dan lauk ayam tersebut. Rasanya inilah kali pertama dan terakhir saya akan ke gerai tersebut. Terima kasih kepada pemilik Gerai C.C Za Catering,semoga anda dapat meningkatkan mutu perkhidmatan anda untuk menjamin kelangsungan perniagaan anda di masa hadapan.


Masjid Gelugor, Pulau Pinang

Respons: 0 comments
Assalamualaikum kepada semua para pembaca, salam sejahtera. Untuk kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua sebuah masjid yang tersergam indah di Gelugor, Pulau Pinang. Perjalanan yang mengambil masa kurang sejam dari Taiping amat memuaskan hati tatkala masuk ke dalam masjid ini. Walaupun boleh dikatakan masjid ini terletak di tengah pekan penuh dengan kenderaan lalu-lalang yang tidak berhenti semenjak pagi namun, apabila masuk ke dalam masjid, satu perasaan yang lain dapat saya rasakan, suasana di dalam yang tenang, agak sejuk berbanding tika berada di luar perkarangan masjid.

Beginilah pandangan dari luar perkarangan masjid. Masjid yang di warnakan hijau jelas kelihatan islamiknya. Sayangnya, para tetamu rumah ALLAH ini agak sukar meletakkan kenderaan kerana dari apa yang saya lihat tempat parking kereta sememangnya tidak ada disini, ataupun mungkin berada di belakang.
Jika di lihat pada papan tanda ini jelas kelihatan Masjid Gelugor ini telah di rasmikan oleh Tun Syed Sheh Al-Haj Bin Syed Hassan Barakbah dan untuk pengetahuan semua masjid ini telah di rasmikan pada 1970, jika di hitung usia masjid ini sejak di rasmikan sudah menjangkau 40 tahun. Walaupun masjid ini sudah berusia, namun masih terjaga dengan rapi.
Apabila melihat kawasan perkuburan bersebelahan dengan masjid ini sedikit sebanyak dapat menginsafkan saya mahupun sesiapapun yang melihat. Lihatlah walau sekaya mana pun anda sekarang, namun jika sudah sampainya janji ALLAH ke tempat yang sempit ini jugalah anda akan dikebumikan. Jika anda dapat perhatikan batu nisan di letakkan sangat rapat dengan kubur yang lain. Hanya amalan yang baik sahaja yang dapat meluaskan tanah kubur kita nanti.

Dadah Musuh Negara!

Respons: 7 comments



Siapa sini pernah hisap dadah angkat tangan macam saya. Sambil menggoyang-goyangkan tangan seperti Usop Wilcha, buka wilcha, wheel chair, itulah pentingnya English Education. Mamat Khalid telah membawa satu fenomena baru dalam industri filem di mana setiap idea yang di curahkan dalam Filem Hantu Kak Limah Rumah telah menjadi ikutan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia kini, dari pada kanak-kanan sehinggakan orang tua pun ada yang terikut-ikut.

Malam ini bukan cerita itu yang saya ingin kupaskan, tetapi berkenaan dengan najis yang amat di larang untuk kita umat islam ambil. Dadah!. Dadahlah merupakan musuh negara nombor satu, kerana dadah orang sanggup bunuh adik, abang, kakak, ayah, mak, datok, nenek dan orang sekitarnya. Kerana dadah orang sanggup pergi merompak, meragut dan pecah rumah. Kerana dadah orang sanggup memotong kabel telefon untuk kegunaan orang di rumah. Semuanya kerana dadah yang terang-terangnya najis.

Mereka ini si penagih dadah sangat menyusahkan orang, bukan sahaja mengancam nyawa kita yang tidak berdosa malah berkemungkinan kerana mereka kita juga akan di jangkiti kuman hiv mahupun aids. Jadi wajarkah kita membiarkan si pengedar dadah yang antara dalang utama menyebabkan anak muda kita terjebak dengan najis dadah lantaran itu mengundang pelbagai lagi jenis ancaman kepada masyarakat. Jika menurut pemikiran saya, ada baiknya jika kita tahu ada pengedar dadah di kalangan kita, cepat-cepat laporkan kepada pihak polis, agar polis akan segera mengambil tindakan. Mahu saja saya cadangkan agar orang ramai boleh tetak mati si pengedar dadah ni, agar aktiviti pengedaran ini dapat di hentikan secara drastik.

Entry ini ada kaitan dengan ini . Mungkin sebabkan dadah lah berlakunya perkara tersebut pada saya.

Salahkah saya?

Respons: 5 comments
Gambar ini hanya hiasan

Sesampainya saya ke kedai malam ni, terus saja saya keluar dari kereta dan tutup pintu lalu buka pintu kedai, sudah menjadi kebiasaan saya akan jadi was-was samada kereta saya sudahpun berkunci ataupun belum, lalu saya menekan remote di tangan untuk memastikan pintu kereta saya telah pun berkunci. Buzzle berbunyi dua kali, maksudnya tadi saya telahpun mengunci kereta, setelah berpuas hati, saya menekan sekali lagi remote di tangan untuk mengunci semula pintu kereta yang telah dibuka.

Setelah itu, saya meneruskan kerja-kerja saya petang tadi yang tertangguh termasuklah BW kepada kawan-kawan yang setia membalas kunjungan. Tiba-tiba sahaja pintu kedai saya di buka oleh seseorang, berbaju hitam bertopi biru dan berseluar jean biru, gaya lagak mukanya seperti ingin marahkan seseorang, saya jadi hairan dengan tak semena-mena orang tu bertanyakan pada saya kenapa tekan alarm kereta, ingat aku ni perompak ke sampai tekan alarm kereta, pada mulanya saya kurang faham apa maksudnya, kini baru saya faham, kemungkinan beliau menganggap saya menekan remote seolah memberi amaran ada pencuri, sedangkan saya ingin memastikan pintu kereta saya telah tutup dengan kemas dan berkunci. Orang tu terus menerus mempersoalkan kenapa saya buat begitu. Saya telah jelaskan beberapa kali dan meminta maaf namun beliau tetap juga bertanyakan soalan yang sama, seolah masih tidak berpuas hati. Katanya lagi ingin beli Kuew Tiaw Kerang Wahab, tapi malam ni kedai tidak di buka, mungkin kerana frust tidak dapat beli kuew tiaw kerang, saya pula menjadi mangsa melepaskan kemarahan.

Seriously saya memang tak berpuas hati dengan sikap dan kelakuan dia pada saya, sudahlah berpelakuan seperti itu, siap gertak saya lagi nak pecahkan cermin kereta, dan hina saya buat maluja tak buang plastik pada kerusi kereta, eh salahkah saya tak buang plastik kereta pada kerusi? bulan-bulan dia ke yang bayar ansuran nyer? persoalannya di sini salahkah saya ingin memastikan kereta saya di kunci ? Wajarkah tindakan beliau begitu pada saya? Wajarkah saya membuat laporan polis tentang ugutan beliau?

Jom Gunting Rambut

Respons: 4 comments
Hari ni saya nak kongsikan dengan anda semua Kedai Gunting Rambut Yusri. Dekat mana kedai gunting rambut ni yer? Lokasi kedai ni di Jalan Kampung Perak Lama, bersebelahan dengan Kedai Peralatan Elektrik Kurau Radio, Batu Kurau Taiping Perak.



Model yang sedang di gunting rambut ni bakal adik ipar saya, kebetulan dia nak gunting rambut, jadi saya bawanya ke sini. Tukang gunting rambut ni saya panggil abang Sani, masa saya kecil dulu abang Sani ada buka kedai gunting rambut dekat jalan besar, Batu Kurau, setiap bulan saya akan ke kedai beliau untuk gunting rambut, namun kini kedai beliau telah di jual dan pemilik baru telah tukar jadi kedai telefon. Eh! Kata kedai Yusri kenapa Sani pula, Abang Yusri sedang berehat di atas kerusi di sebelah saya sambil menonton televisyen.
Yang Sebenarnya di Pekan Batu Kurau ini terdapat 4 buah kedai gunting rambut. Di antara semua kedai gunting rambut, kedai ini yang paling selesa, lihatlah pakaian yang di pakai oleh penggunting rambut tu, kemas, keadaan kedai yang nampak tenang dan cantik mata memandang. Paling penting sekali kedai ini di lengkapi dengan hawa dingin. Rasanya di Batu Kurau ni, inilah satu-satunya kedai yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut di kedai yang di lengkapi dengan hawa dingin. Tengah hari panas-panas nak gunting rambut, sejuk sikit bila masuk kedai yang ada hawa dingin untuk gunting rambut.

SMS Penipuan Awas Jangan Tertipu!

Respons: 6 comments



Klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas. Pernahkah anda mendapat mesej begini di handphone anda? Pastikan anda tidak melayan mesej ini. Mesej ini bertujuan untuk memerangkap anda untuk melanggan servis sms content mereka yang pastinya hanya menyebabkan kredit anda hilang setiap kali anda menambah nilai. Kebiasaanya setiap kali anda top up, kredit anda akan di tarik sebanyak RM3.00. Setiap hari ataupun minggu pastinya anda akan mendapat sms dan setiap kali itulah jika anda sudah melanggan kredit anda akan di tarik. Rugikan, anda susah-susah berusaha bekerja seharian, senang-senang mereka mengaut keuntungan dengan memotong kredit handphone anda.

Bapa saudara saya pernah mengalami di mana beliau telah terperangkap dengan mesej yang jelas memperdayakan, tidak hanya satu malah tiga, saya sendiri yang telah menolong untuk membatalkan langganannya. Berpuluh ringgit duit habis di perolehi oleh penipu ini. Anda di luar sana berhati-hatilah sebelum terkena. Abaikan sahaja mesej-mesej sebegini. Jika sudah terkena, tak perlu tukar no baru, hubungi no pusat servis talian handphone anda dan dapatkan bantuan bagaimana untuk membatalkan langganan anda pada sms penipu ini.

Batu Kurau:Pokok Sena Sumpahan Moyang Bolah

Respons: 12 comments
Hari ni saya nak berkongsi dengan semua pengunjung berkenaan pokok sena yang telah di tanam menyongsang yang mana dikatakan pokok ini pada asalnya di tanam akarnya terpacak ke atas dan pucuknya di tanam ke bawah. Pokok ini masih ada lagi di Tanah Perkuburan Kampung Seri Paduka, Kampung Perak, Batu Kurau, Taiping Perak. Pokok tersebut telah di sumpah 'Selagi ada pokok sena musuh tidak akan kacau kampung'.

Siapakah yang menanam pokok sena tu?. Difahamkan pokok sena tu telah ditanam oleh moyang saya. Beliau merupakan keturunan Raja Bugis dan juga merupakan orang yang telah membuka sebuah kampung yang diberi nama,Kampung Perak dan kini telah ditukarkan dengan nama Kampung Seri Paduka.

Terdapat beberapa keanehan yang pernah diceritakan oleh orang-orang terdahulu berkenaan dengan pokok sena ini, di antaranya jika ada dahan gugur jatuh ke bumi, petandanya ada orang yang akan mati dan bakal dikebumikan di situ. Berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 di mana di kawasan Batu Kurau ini juga kena perintah berkurung. Sesiapa juga tidak dibenarkan keluar dari rumah kerana askar berkawal dan pada sesiapa yang engkar akan di tembak. Namun anehnya penduduk Kampung Seri Paduka ini masih bebas berada di luar rumah tanpa sebarang gangguan, inilah yang diceritakan sendiri ibu saya.

Selain daripada itu, ada juga cerita yang pernah di ceritakan di mana ada seorang penduduk kampung yang mengambil dahan kayu yang digunakan untuk membuat pancang menambat kerbau, setelah di tambat kerbaunya, tiba-tiba kerbaunya menjadi kaku, setelah mendapat nasihat dari pawang , dan pawang tersebut telah membuang pancang kayu dari dahan pokok sena yang di gunakan untuk menambat kerbau tadi barulah kerbau tadi pulih semula.

Bilamana ada orang yang meninggal dan ingin dikebumikan di kawasan sekitar bawah pokok, di gali di mana pun tidak akan ketemui akar, aneh walaupun pokoknya besar tapi akan tidak menjalar seperti pokok-pokok lain yang kita pernah tengok. Sekian sahaja untuk entry kali ini. Cerita-cerita ini adalah cerita yang pernah disampaikan oleh ibu saya, ada juga pengalaman-pengalaman beliau sewaktu muda dulu dan juga cakap-cakap yang didengari dari orang-orang tua terdahulu.





Takziah buat keluarga Allahyarhamah Cu Nazirah

Respons: 2 comments
Al-Fatihah

Pagi tadi ibu kepada Yang Berhormat Kapten Najimuddin Hj Elias telah kembali ke rahmatullah dekat KPJ Ipoh. Semoga rohnya di cucuri rahmah dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Di fahamkan jenazahnya akan sampai petang nanti dari ipoh ke Dewan orang ramai Kg Paya. Bagi sesiapa di sini yang mempunyai kelapangan bolehlah datang untuk memberi penghormatan buat kali terakhir.

Batu Kurau: Di manakah Batu Kurau?

Respons: 3 comments
Assalamualaikum...hari ini pada asalnya saya ingin berkongsi dengan para pengunjung dan pembaca sekalian berkenaan dengan satu batang pokok yang di tanam songsang tetapi setiap kali saya nak bertanyakan soal itu pada emak saya, saya akan terlupa.Makanya untuk entry hari ini saya ingin menjawab pertanyaan salah seorang pembaca yang bertanyakan di manakah Batu Kurau?.

Batu Kurau ini hanyalah satu Daerah nun jauh di Utara Perak. Kawasan pendalaman, masih ada lagi rakyat yang hidup bergantung harap pada tanam-tanaman, hasil tani, memelihara binatang ternakan, juga ada penduduk, anak muda yang sudah bekerja di kilang-kilang di bandar juga bekerja di Bandar Kuala Lumpur.

Batu Kurau ni terletak di Di dalam kawasan Taiping, Perak. Lebih kurang 20 km dari bandar Taiping. Biasanya Batu Kurau amat terkenal dengan buah Durian, sehinggakan ada replika buah durian yang besar di hadapan Pejabat Peladang Besar, Batu Kurau. Popular nya buah durian Batu Kurau ini boleh sampai ke Kuala Lumpur dan sehingga ada juga orang Johor juga tahu kehebatan rasa Buah Durian dari Batu Kurau ni.

Dekat Batu Kurau ini terdapat banyak kampung-kampung. Terdapat beberapa tempat yang menarik untuk di kunjungi antaranya, Lata Air Sempeneh(sungai), Air Hitam(sungai), Sungai Telaga Tujuh(sungai), Gunung Sempeneh di mana terdapatnya gua pelamin.

Di bawah adalah peta dari Satelite Batu Kurau.


Batu Kurau : Bekalan Air Masyarakat

Respons: 2 comments
Assalamualaikum semua. Kepada Pengunjung Saya ucapkan terima kasih sudi datang dan sudi membaca entry saya. Hari ini saya nak berkongsi pula dengan kemudahan asas yang ada di Batu Kurau ini iaitu bekalan air masyarakat. Lebih mudah di panggil paip air masyarakat@air kesihatan apa pun nama yang di panggil tetap menjuruskan berkenaan bekalan air bersih yang hanya perlu membayar RM1 -RM2 sebulan.

Untuk perkongsian saya kali ini saya membawa anda melihat sendiri keadaan bagaimana air yang di salurkan ke rumah-rumah di kawasan perkampungan, pendalaman dalam daerah Batu Kurau. Rujuk gambar di atas, bekalan air untuk penduduk di kawasanKg Jabi dan kawasan sekitarnya, airnya di ambil dari sungai Telaga Tujuh.
Beginilah keadaan tempat di mana air di proses untuk di salurkan ke rumah-rumah di kampung jabi dan sekitarnya. Agak besar kolam takungan air ini. Di bahagian belakang pula ada paip-paip besar yang di sambungkan di bahagian bawah untuk di salurkan ke kampung-kampung.
Beginilah air di tapis, air yang di alirkan dari sungai di atas melalui saluran paip besar dan di tapis menggunakan jaring untuk menghalang dari daun-daun masuk ke dalam kolam takungan air dan sekaligus mungkin menyebabkan saluran paip sumbat.





Boleh mainkan video di atas ini untuk melihat sendiri bagaimana air ini di proses dan di bekalkan untuk kegunaan masyarakat kampung di sekitar Batu Kurau ini. Bekalan ini untuk penduduk Kg Jabi dan kawasan sekitarnya.Sekian

Batu Kurau : Warung laksa Kak Ani

Respons: 3 comments
Sudah puas mengambil gambar, perut pun sudah lapar,jadi saya dan rakan-rakan singgah ke warung laksa Kak Ani. Tengok gambar kat bawah ni, warung kat kampung macam ni la, simple jer, atap pun di perbuat dari Daun Rumbia. Kat sini ada laksa, ada cendol dan ais kacang. Bagi yang menggemari laksa, bolehlah pesan sepinggan laksa. Rasanya emm memang sedap.
Dua orang ni la model sambilan@rakan-rakan saya yang menemani saya sewaktu melakukan expedisi ke telaga tujuh, yang di sebelah kiri tu Farisan dan di sebelah kanan tu pula Musa.
Gambar kat bawah ni lak adalah makanan yang saya pesan tadi, Cendol dan Laksa. Cendol pun sangat sedap. memang berpuas hati lah. Layanan pun mesra, makanan pun sedap. Jadi kalau anda berminat untuk pergi ke telaga tujuh nanti jangan lupa singgah sini makan laksa ngan cendol @ ais kacang tau. eh lupa nak bagitahu, kos untuk dua mangkuk cendol dan sepinggan laksa tak sampai pun lima ringgit. Memang sangat berpatutan.

Expedisi saya ke telaga tujuh berakhir disini. Lain kali saya akan bawakan anda ke tempat-tempat yang menarik lain pula sekitar Batu Kurau mahupun Taiping.

SEGMEN ANDAI AKU SUPERHERO

Respons: 1 comments

Kali pertama join Segmen yang di anjurkan oleh http://expressidunia.blogspot.com , Untuk tidak mengecewakan kerana telah menjemput saya menyertai, maka saya cuba juga. Oleh kerana tajuk segmen ini di mulakan dengan 'Aku' jadi saya gunakan bahasa 'Aku'.

Andainya aku superhero, sudah tentu aku ingin jadi superman, kenapa superman? kerana superman bukan sahaja kebal, malah boleh terbang, mata boleh mengeluarkan cahaya seperti laser yang panas, boleh mencairkan besi, boleh mencairkan ais, boleh membekukan air. Boleh mengangkat barang yang beratus kali ganda beratnya. Untuk apa semua tu, aku nak pergi ke negara-negara yang sedang di perangi oleh musuh Islam. Aku nak berjuang di sana. Aku nak musnahkan mereka. Biar mereka tahu betapa kuatnya negara-negara Islam. Aku nak bantu semua penduduk di bumi. Oleh kerana superman boleh terbang jadi tak perlu lagi nak bersusah payah nak ambil kapal terbang. Visa? tak perlulah, bukan orang tahu pun aku masuk negara lain tanpa passport hehe.

Expedisi Ke Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau, Taiping Perak bah -3

Respons: 2 comments
Kalau entry yang sebelum ini saya ada berkongsikan beberapa gambar telaga tujuh, di bawah ini saya kongsikan lagi beberapa gambar telaga dan juga pemandangan sungai.


Kalau di lihat gambar di atas ini air yang mengalir dari atas akan turun ke dalam telaga. Kalau sebelum ini kita dapat lihat telaga berada pada batuan di tepi pantai sungai, kali ini kita dapat lihat telaga di dalam air pula. Menakjubkan bukan. Dua orang rakan saya cuba memasukkan kayu untuk mengukur kedalaman telaga ini, namun kayu yang di tenggelamkan tidak sampai ke dasar. Kemungkinan aliran air yang deras turun membuatkan dasar telaga menjadi lebih dalam. Terus terang saya tidak berani nak turun ke dalam ni.
Gambar di atas ini pula aliran air yang turun dari bukit melunsur laju, tentunya air ini sejuk dan nyaman sekali. Sayangnya saya tidak membawa bersama kelengkapan untuk mandi.

Ini lagi gambar pemandangan sungai. Sangat menyeronokkan jika dapat berkelah disini. Sambil mandi -manda beriadah bersama keluarga mahupun bersama rakan-rakan.

Expedisi Ke Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau, Taiping Perak bah -2

Respons: 0 comments
Sambungan dari entry yang sebelum ini yer rujuk bah -1

Kali ini saya nak tunjukkan pula beberapa telaga yang terdapat di Telaga Tujuh ini, ada telaga yang masih lagi mengeluarkan air, yang mana airnya masih mengalir keluar. Di fahamkan telaga yang masih mengalirkan air , jadi telaga itu masih lagi hidup, dan jika telaga yang sudah tidak mengeluarkan air dan berlumut, telaga tersebut telahpun mati. Ada komen dari kawan-kawan mengatakan tahu berkenaan tempat ini namun tidak pernah berkunjung ke sini, bagi yang ingin datang dan lihat sendiri bolehlah hubungi saya, insyaallah saya akan bawa berkunjung ke tempat ini, mungkin kita boleh berkelah di sini nanti. Di sini bukan sahaja kita dapat melihat telaga-telaga yang terdapat di permukaan batu, malah kita juga dapat mandi dan beriadah di sini, pastinya air di sini sangat segar, sejuk dan nyaman.




Gambar di atas mungkin telaga yang mungkin sudah mati, jika di lihat kedua-dua telaga ini hanya menakungkan air, mungkin air dari air hujan, ataupun air dari sungai yang berdekatan yang masuk ke dalam lubang telaga ini waktu air pasang, kemungkinan waktu hujan lebat. Daun-daun buluh pula lebih mencacatkan pemandangan telaga ini dan membuatkan airnya menjadi lebih kotor.


Gambar di atas ini pula telaga yang juga sudah tidak mengalirkan air keluar dan kemungkinan hanya menakungkan air, lihatlah keadaan sekeliling telaga ini sudah berlumut hijau, dan tiada air mengalir keluar di permukaan telaga ini. Kemungkinan telah mati. Kalau dulunya waktu kecil-kecil saya pernah merendam badan ke dalam telaga ini namun kini tidak lagi. Tujuan expedisini kali ini hanya untuk mengambil gambar dan berkongsi dengan orang ramai.

Lihat pula gambar di atas ini, telaga ini walaupun di penuhi pasir namun masih terdapat air yang mengalir keluar, bagi saya telaga ini masih hidup kerana air tetap mengalir keluar ke permukaan batu dan masuk ke sungai. Persoalannya dari manakah air ini datang. Mungkin ada mata air dari bawah permukaan telaga ini.

Nantikan bahagian yang seterusnya siri jelajah saya...

Expedisi Ke Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau, Taiping Perak bah -1

Respons: 5 comments
Dua orang model sambilan, En Musa dan En Farisan

Untuk kali ini saya ingin membawa anda melihat sendiri pemandangan sekitar Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau, Taiping Perak. Sebenarnya sudah lama saya berhasrat untuk ke sana setelah hampir sepuluh tahun saya tidak kesana. Apa yang ada di Telaga Tujuh tu yer?. Menurut apa yang saya lihat sejak dulu lagi, telaga tujuh tu adalah 7 lubang yang berbentuk bulatan seperti telaga dan mengandungi air di dalam lubang tersebut, air itu pula mengalir keluar, yang uniknya telaga ini adalah terletak pada batu-batu di tebing sungai, ada juga telaga yang terletak di dalam air.Memang sangat indah ciptaan tuhan ini Subhanallah. Akan bersambung ke bahagian 2 nanti.



Kemana Menghilang?

Respons: 0 comments
Sudah dua hari tiada entry yang terbaru sejak hari Selasa lepas di mana saya berkongsi berkenaan Pekan Selasa. Saya tidak hilang kemana-mana masih lagi berada di depan komputer cuma masa agak terbatas untuk saya mengemaskini blog ini, cuma ada waktu untuk melawati ke beberapa blog yang saya wajib kunjungi setiap hari.

Kelmarin saya ada memesan sebuah buku berkenaan dengan KEAJAIBAN REZEKI DENGAN OTAK KANAN, buku apakah ini?. Buku ini ditulis oleh seorang penulis buku dari Indonesia dan buku ini telahpun di alih bahasa ke Bahasa Melayu untuk bacaan kita rakyat Malaysia. Oleh kerana saya rasa tertarik makanya saya telah pun memesan dari seorang penjual yang mengiklankan berkenaan buku tersebut di blog MalaysiaSensasi dengan harga Rm35. Oleh kerana sekarang sudah ada skynet di Batu Kurau maka saya telah memberikan alamat saya dan minta untuk di hantar dengan menggunakan skynet. Malangnya barang yang di hantar tengah hari semalam telah tersalah hantar dan di hantar ke Pulau Pinang. Kenapa ke Pulau Pinang yer? Begini, alamat saya tertulis Kampung Kepala Batas, walaupun di letakkan poskod kemungkinan besar mereka tidak memerhatikan pada poskod tetapi terus membaca nama kampung saya sahaja, jadi berlaku kekeliruan di sini yang saya rasa boleh di maafkan. Insyaallah buku tersebut akan sampai juga ke tangan saya selewatnya pada esok hari.

Petang tadi saya ke Taiping atas urusan Bank dan membeli peralatan komputer. Di dalam perjalanan pulang saya terlihat satu kemalangan di Batu 13 berhampiran dengan Kampung Pondok Quin, sebuah motorsikal telah bertembung dengan sebuah kereta. Oleh kerana perasaan ingin tahu sangat menebal saya telah memberhentikan kereta di kiri jalan dan pergi melihat apa yang berlaku. Rupanya pemandu kereta tersebut kawan saya sewaktu sekolah dulu. Beliau memandu Iswara Merah, sedang dalam perjalanan ke arah Taiping, tetapi membuat pusingan u ke arah Batu Kurau semula kemungkinan ada ketinggalan barang. Tiba-tiba sahaja sebuah motorsikal dari arah Batu Kurau ke Taiping menghentam laju pintu bahagian pemandu dan tercampak ke atas bumbung kereta dan jatuh ke atas jalan. Keadaan kereta agak teruk di bahagian pintu pemandu dan kemungkinan pintu tersebut tidak boleh digunakan lagi. Keadaan motorsikal pula rosak teruk kerana remuk. Si pemandu kereta tidak cedera tetapi penunggang motorsikal tersebut kelihat baring di sisi kereta. Orang ramai menasihatkan agar beliau jangan bangun selagi ambulan belum sampai kerana di khuatiri berlaku kecederaan dalaman yang serius.

Sekian sahaja perkongsian saya malam ni. Harap maaf kadangkalan apa yang saya sampaikan seperti karangan budak sekolah rendah pula. Saya dalam usaha memperbaiki tatabahasa dan susun atur ayat agar menjadi mudah untuk di baca.

Jom Pergi Pekan Selasa

Respons: 2 comments





Jom Pergi Pekan Selasa. Bagi yang berasal dari Batu Kurau tentu tahu pada hari Selasa setiap minggu akan di adakan pasar pagi, ataupun lebih di kenali dengan Pekan Selasa. Kalau tiba sahaja hari Selasa pastinya penduduk Batu Kurau dari seluruh pelusuk daerah akan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, membeli pakaian, dan juga mendapatkan pelbagai jenis barang-barangan yang sukar di dapati kecuali di pasar-pasar pagi begini. Pada pagi ini lebih dari seratus orang peniaga yang datang dari merata tempat untuk menjual barangan mereka di pekan selasa ini. Bukan sahaja ikan, sayur-sayuran kampung, ulam-ulaman, pakaian, kain ela, kain pasang, periuk, belanga, racun serangga, baja tanaman, malah ada juga jualan barangan terpakai seperti peti televisyen, radio dan sebagainya.

Kena gaya pada waktu sekarang musim durian, maka orang-orang kampung di sebelah Jelai, Relang dan Sekitar Changkat Perah poket tengah kembung dengan duit hasil jualan durian maka lebih larislah barang dagangan yang di jual di sini hari ini. Bagi yang belum pernah sampai ke pekan Batu Kurau dan ingin menikmati suasana pekan Selasa ni bolehlah berkunjung ke Batu Kurau ini pada hari Selasa pagi.

Apa ada di Pasar Tani?

Respons: 2 comments
Saban minggu sambutan orang ramai untuk ke Pasar Tani semakin berkurangan. Tidak seperti di awal entry saya yang lalu di mana bukan sahaja orang yang datang berkunjung agak ramai malah para peniaga pun juga ramai membuka gerai. Di manakah silapnya setelah beberapa bulan ini semakin hari semakin hambar rasanya, sehinggakan apabila menjejakkan kaki ke Pasar Tani tersebut terasa seolah orang berniaga di tepi jalan. Saranan saya sepatutnya pihak fama berusaha untuk memperbanyakkan dan meramaikan lagi para peniaga untuk datang berniaga disini, rasanya lebih berbaloi untuk orang datang berkunjung kesini jika segalanya sudah ada disini.

Mengadakan aktiviti seperti cabutan bertuah, Karaoke, Pertandingan Nasyid , Persembahan band dan Pertandingan Hadrah tidak mungkin menjadi tarikan utama orang berkunjung ke sini. kalau ada pun hanyalah untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan sahaja. Di manakah usaha pihak fama untuk membantu para peniaga untuk melariskan barang dagangan mereka. Sebagai contoh saya lihat pada petang tersebut sudahlah para peniaga pun boleh di kira dengan jari, para pengunjung pula sangat menghampakan.

Moga pihak yang terbabit berusaha untuk menarik lebih ramai peniaga untuk berniaga disini dan secara tak langsung hebahkan ke serata kampung di pendalaman, kadangkala ada di kalangan orang kampung tidak tahu pun adanya pasar tani ni. Lagi satu jika buat kertas iklan pastikan letakkan bersama lokasi di manakah pasar tani ini di buat. Pernah terjadi pada saya di mana ada seorang hamba ALLAH sedang khatib membacakan khutbah Jumaat bertanyakan pada saya di mana Pasar Tani ni sambil tunjukkan kertas yang di letakkan di masjid Al-Kurauwi. Secara tidak langsung menganggu saya. Kalau saya jawab, maka rugilah saya terpaksa solat zohor pula kerana tidak mendengar khutbah dan bercakap-cakap pula.

Stesen Bas Kamunting

Respons: 1 comments
Gambar di atas adalah pemandangan sewaktu petang stesen bas Kamunting, Di stesen inilah penduduk di kawasan Taiping termasuklah Batu Kurau mendapatkan bas untuk pergi ke destinasi yang diingini. Di stesen bas ini terdapat bas dari Mara Liner, Konsortium, Plusliner dan beberapa lagi syarikat bas yang beroperasi di sini.


Selamat Pengantin Baru Farah Hayati Ismail

Respons: 1 comments
Pada hari sabtu 2 April 2011 berlangsungnya majlis perkahwinan Farah Hayati dan pasangannya Mohd Razis di Dewan Serbaguna Kg. Baru Astaka. Saya sempat meluangkan masa untuk datang ke majlis perkahwinan ini. Terima Kasih di ucapakan kepada Yani adik kepada pengantin perempuan yang sudi mengundang saya ke majlis ini. Di sini juga saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat kedua pasangan ini semoga berkekalan hingga ke akhir hayat hendaknya.

Dua ekor burung

Respons: 0 comments
Gambar sekadar hiasan

Sebelum tengah malam saya ingin membawakan suatu cerita, cerita ini sebenarnya hanyalah kiasan kepada kisah sebenar apa yang terjadi dalam dunia realiti ini.

Tersebutlah sebuah kisah dua ekor burung yang telah sekian lama bermadu kasih dan hidup berpasangan. Si burung jantan ini sangatlah mencintai si burung betina yang sangatlah cantik dimatanya, baik budinya, ikhlas hatinya. Setiap masa si burung jantan ini akan sentiasa berada di hati si burung betina ini.

Di sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, si burung jantan di takdirkan terbang terjauh sikit ke utara, si burung betina pula terbangnya tinggi jauh ke timur, sudahnya si jantan ternampak pula burung betina lain adapun kiranya nampak cantik di pandangan mata, entah kenapalah si burung jantan ini tadi terpikat pula pada burung betina yang baru di temuinya.

Setelah beberapa lama pulanglah si burung jantan ke tempat asalnya. Begitu juga si burung betina tadi.Maka bertemulah pasangannya burung ini semula, di hatinya si burung jantan tadi sudah ada bibit cinta pada si burung betina lain namun di luar pengetahuan pasangannya si burung betina tadi. Maka hari berganti hari, bulan berganti bulan, si burung betina yang berpasangan dengan si burung jantan tadi pun menjadi hairan dan aneh, si burung jantan semakin lama semakin cepat sahaja marah, ada sahaja perkara yang tidak kena di hati cepatlah melenting jadinya.

Satu hari si burung jantan meluahkan adapun kiranya ia sudah tiada hati pada si burung betina pasangannya tadi, betapa hancur luluhlah hati si burung betina yang setia dan ikhlas pada si burung jantan ini tadi. Si betina tadi tetap redha dan ikhlas, adapun hatinya sedih, di teruskan juga menjalani hidup seperti biasa walaupun di hati sangatlah terluka. Saban hari bermacam-macam di lakukan untuk melupakan si burung jantan tadi. Baginya semuanya telah menjadi sejarah dalam hidupnya.

Sedang si burung betina cuba untuk melupakan si burung jantan yang rasanya amat sukar di lakukan, si burung jantan pula sering datang untuk memberikan tekanan pada si burung betina yang sedia ada agak tertekan dengan apa yang terjadi padanya.

Semoga suatu hari nanti si burung jantan yang telah mengecewakan pasangannya si burung betina mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang di lakukannya.

Sekian cerita luahan rasa yang saya ingin kongsikan.

Glitterati?

Respons: 2 comments

Oops!. Status Glitterati telah berubah seperti di atas setelah masuknya bulan April 2011. Saya akui, saya bukanlah blogger yang penuh dengan entry yang menarik, selalu menampilkan entry yang terbaru dan sentiasa updated. Namun saya cuba juga untuk buat sehabis baik dalam setiap entry saya dari sehari ke sehari, apa yang saya perhatikan sepanjang bulan March 2011 ada ramai kawan-kawan blogger yang berkunjung ke sini dan secara tak langsung mungkin ada yang tertarik dengan iklan yang di pamerkan oleh nuff di blog ini dan mereka telah klik, namun sangatlah hampa kerana tidak menghasilkan sebarang pendapatan, samada saya tidak faham bagaimana nuffnang ini berfungsi ataupun saya salah seorang mangsa dari kalangan orang-orang yang telah meletakkan nuffnang di blog dan tidak menghasilkan pendapatan. Mungkin bukan rezeki saya dari pengiklanan dari nuffnang. Apa pun terima kasih kepada nuffnang kerana telah memberikan saya rm 0.25 sen pada Februari lepas dan 0 sen pada bulan March lepas. Walaupun saya tidak perolehi apa-apa dari program nuff ini namun saya tetap bersemangat untuk teruskan berblogging ni. Insyaallah saya akan cuba untuk buat sehabis baik dalam entry-entry yang akan datang. Oleh kerana status saya sudah seperti di atas rasanya tak salahkan saya cuba pengiklan yang lain, mana tahu ada rezeki saya pada pengiklan tersebut. Selamat maju jaya pada para blogger. Yang nak komen entry yang agak berbaur kecewa ini silakan.

Copyright © Portal Berita Terkini

Sponsored By: GratisDesigned By: Habib Blog