PUTRAJAYA 25 Ogos - Kerajaan hari ini mengumumkan larangan penjualan
Colour Crystal Ball yang digunakan secara meluas sebagai perhiasan pasu
selepas mendapati produk tersebut mampu meragut nyawa kanak-kanak kecil
jika tertelan.
Kajian makmal mendapati produk menyerupai sagu dalam ais kacang itu
mampu mengembang sehingga 55 peratus dalam tempoh dua jam di dalam perut
manusia sehingga menyebabkan usus kanak-kanak pecah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini lapan pembedahan besar
telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menyelamatkan kanak-kanak yang
tertelan Colour Crystal Ball.
''Walaupun kandungan kimia dalam Colour Crystal Ball adalah pada
tahap selamat namun masalahnya produk ini mampu mengembang 290 hingga
444 peratus selepas menyerap air selama dua jam.
''Ujian simulasi berdasarkan keadaan dan tahap asid perut pula
mendapati ia boleh mengembang sebanyak 36 hingga 55 peratus dalam tempoh
dua jam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, rupa Colour Crystal Ball yang berwarna-warni
dan menyerupai agar-agar sering mendorong kanak-kanak menelannya.
Menurutnya, kanak-kanak yang tertelan Colour Crystal Ball akan
mengalami tanda-tanda seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung,
sakit perut, usus tersumbat dan yang paling serius usus pecah.
''Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai produk ini supaya
segera membuangnya, ia adalah berbahaya terutama terhadap kanak-kanak di
bawah lima tahun.
''Bagi peniaga pula, mereka tidak lagi dibenarkan menjual produk ini
atau berdepan risiko denda RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun
atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama di bawah Akta
Perlindungan Pengguna," katanya.
Beliau berkata, pemantauan kementeriannya mendapati kebanyakan Colour
Crystal Ball direka di Korea Selatan tetapi dikeluarkan di Jepun dan
China.
''Malaysia bukan negara pertama yang melarang penjualan produk ini,
Poland dan Itali telah mengenakan larangan sama pada tahun lalu.
''Filipina pula mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap pembekalan
dan penjualannya kerana produk ini mudah menyebabkan kanak-kanak
tercekik," katanya.
sumber berita dari: Utusan Malaysia
1 comment:
mmg bahaya benda tu.. dulu hajat nak guna gak tp pikir takut anak2 makan, x jadi.. hahaha
Post a Comment